Friday

PANTAI FLORIA PRESINT 4 PUTRAJAYA DIBUKA

 PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Pantai dan sisiran Floria yang terletak di kawasan Anjung Floria, Presint 4 Putrajaya dibuka secara rasminya pada 1 Mac 2022 kepada pengunjung dan pelawat yang datang ke Putrajaya.

 
Kemudahan ini akan beroperasi dari jam 9.00 pagi sehingga 6.30 petang pada setiap hari. Kemudahan yang terletak di Presint 4 Putrajaya ini merupakan tarikan terbaru untuk rekreasi air di Putrajaya.
 
Antara komponen utama di sini adalah Pantai Floria iaitu pantai buatan (Sandy Beach) sepanjang 100meter dengan keluasan 600meter persegi. Pantai ini dilengkapi dengan menara tinjau untuk para petugas keselamatan, peti pertolongan cemas, kawasan lapang, air pancuran, tempat duduk bertingkat yang selesa kepada para pengunjung yang hadir. Pantai ini boleh memuatkan seramai 100 orang dalam satu masa.
 
Di sepanjang sisiran tasik Anjung Floria terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilaksanakan antaranya aktiviti memancing sepanjang 150 meter, aktiviti rekreasi air seperti berkayak, bot kawalan jauh (RC boat) dan tapak berkelah untuk pengunjung meluangkan masa bersama ahli keluarga dengan kadar bayaran yang berpatutan. Bersempena dengan ulang tahun ke 26 Perbadanan Putrajaya pada 1 Mac 2022, Pantai Floria Putrajaya dibuka secara percuma kepada pengunjung yang hadir bermula 1 Mac – 15 Mac 2022.
 
Kedudukan Pantai Floria dan Sisiran Floria yang berhampiran dengan kemudahan permulaan Pit Stop laluan basikal di Putrajaya. Kawasan rekreasi merupakan lokasi yang mudah diakses dilengkapi dengan pelbagai fasiliti antaranya adalah cyclist kafe, surau, tandas awam, tong sampah serta kawasan tempat letak kereta yang luas. Kawasan ini juga popular berlatarbelakangkan panorama tasik Putrajaya dan beberapa binaan ikonik seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Jambatan Seri Saujana sudah tentunya akan menjadi lokasi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Putrajaya untuk beriadah dan bersantai.
 
Perbadanan Putrajaya akan terus memberikan perkhidmatan dan pengurusan perbandaran yang terbaik termasuk aspek rekreasi bandar khususnya dan memperbanyakkan lagi destinasi tumpuan pelancongan dengan elemen yang lebih inovatif bagi menyokong Putrajaya sebagai bandar rekreasi yang terunggul.
 
 
DATO’ TPr. FADLUN BIN MAK UJUD
Naib Presiden Kanan
Perbadanan Putrajaya
Tarikh:  4 Mac 2022 


SUMBER : Perbadanan Putrajaya

No comments:

Post a Comment