Monday

Kopi Kenangan tingkatkan pembiayaan Siri A, raih pelaburan tambahan

KUALA LUMPUR, 23 Dis -- Kopi Kenangan, premis rangkaian kopi yang berkembang pesat di Asia Tenggara meningkatkan pembiayaan Siri A bagi Jun menerusi pelaburan tambahan antaranya daripada Arrive, syarikat Roc Nation; Serena Ventures; pemain bola keranjang terkenal dunia Caris LeVert; dan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sweetgreen Jonathan Neman.
Sequoia India, yang menerajui pembiayaan Siri A berjumlah US$20 juta pada Jun 2019 turut menyertai pusingan kali ini, menurut Kopi Kenangan dalam satu kenyataan (US$1 = RM4.14).
Kopi Kenangan yang ditubuhkan oleh Edward Tirtanata, James Prananto dan Cynthia Chaerunnisa pada 2017, berjaya menyediakan rangkaian kopi yang lebih murah berbanding syarikat antarabangsa, yang di luar kemampuan kebanyakan rakyat Indonesia.
Pada tahun lepas, Kopi Kenangan hanya mempunyai 16 cawangan dan menyediakan beberapa ribu cawan sahaja sehari. Bagaimanapun, kini ia telah mempunyai lebih 200 cawangan di seluruh negara dan menyediakan lebih tiga juta cawan kopi pada setiap bulan.
Secara purata, syarikat itu membuka lebih daripada satu cawangan setiap hari. Hasilnya meningkat 20 kali ganda sejak pusingan pembiayaan awal yang dipimpin oleh Alpha JWC pada tahun lepas. Kopi Kenangan bercadang untuk menambah lebih daripada 1,000 cawangan baharu dalam tempoh dua tahun akan datang dan berkembang di seluruh Asia Tenggara.
“Kami mahu membina jenama yang menjadi lagenda, dan berminat untuk bekerjasama dengan pelabur baharu dan penasihat yang telah membina francais pelanggan di peringkat global melibatkan sukan, hiburan dan teknologi,” kata CEO dan pengasas bersama, Edward Tirtanata.
Nielsen Company meletakkan Kopi Kenangan di tempat pertama sebagai kopi yang mendapat tempat dalam kategori kopi susu selain di tempat kedua selepas rangkaian kopi multinasional bagi kategori kopi umum.
Minuman Kopi Kenangan yang paling laris adalah ‘Es Kopi Kenangan Mantan’ yang menjadi kegemaran pelanggan dan membantunya meraih tempat terbaik bagi kategori kopi susu.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment