KUALA LUMPUR, 6 Sept -- Pejabat Muzium Japan Media Arts Distributed membuka pameran, “Muzium Japan Media Arts Distributed,” di kira-kira 10 lokasi, termasuk lapangan terbang di Jepun.
Pameran berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif baharu yang dibiayai oleh Cukai Pelancong Antarabangsa oleh Agensi bagi Hal Ehwal Kebudayaan, Kerajaan Jepun.
Sebagai usaha pertama bagi inisiatif tersebut, pejabat itu memulakan langkah dengan pemasangan sebuah video berskala besar dan sebuah seni tingkap hiasan bermula 30 Ogos, di Dataran Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Chitose Baharu, menurut satu kenyataan.
“Pameran itu menandakan permulaan bagi satu inisiatif baharu untuk pelawat ke Jepun yang diberi nama ‘Inisiatif penyebaran seni media kebudayaan Jepun di lapangan terbang dan institusi lain’ oleh Agensi bagi Hal Ehwal Kebudayaan, Kerajaan Jepun.
“Artis-artis dan pencipta yang tampil dalam pameran ini merakamkan sumber-sumber kebudayaan yang dihasilkan daripada pelbagai kebudayaan tempatan melalui perspektif baharu,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya lagi, dengan mempamerkan hasil karya bagi seni media di tempat-tempat seperti lapangan terbang, yang berfungsi sebagai pintu masuk ke wilayah-wilayah ini, pejabat itu menjemput pelawat untuk menerokai semangat yang sebenar bagi budaya ini di sepanjang perjalanan mereka.
Pameran berkenaan dipaparkan di dalam Dataran Ketibaan Antarabangsa, dan tidak boleh dilihat oleh orang awam.
“Hanya penumpang yang tiba dengan penerbangan antarabangsa sahaja yang dapat melihat pameran ini,” jelasnya.
Maklumat lain, termasuk pameran pada masa hadapan di lapangan terbang lain, akan diumumkan apabila butirannya disahkan. Maklumat lanjut boleh didapati di https://jmadm.jp/en.
-- BERNAMA
 
No comments:
Post a Comment