KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Pameran makanan Taiwan Satu Bandar Satu Produk (OTOP) Taiwan akan diadakan sekali lagi di pusat beli belah Cheras Sunway Velocity, Kuala Lumpur bermula 6 hingga 12 Ogos ini.
Program berkenaan menampilkan produk-produk unik dari 368 perbandaran dan bandar raya di seluruh Taiwan seperti makanan dan produk isi rumah terkini daripada beberapa pengeluar di Taiwan, menurut satu kenyataan.
Program yang dirancang untuk mempromosikan sejarah, budaya dan pencapaian industri Taiwan itu bertujuan meningkatkan ketampakan dan daya saing produk di seluruh dunia dan berjaya membantu produk-produk buatan Taiwan menembusi pasaran di Hong Kong, Singapura dan Amerika Syarikat.
Pada 2018, syarikat makanan yang berpangkalan di Malaysia, Jimrosa Sdn Bhd telah memperkenalkan OTOP ke Malaysia dengan membuka kedai OTOP pertama di Sunway Velocity.
Pameran pada tahun ini yang bertemakan ‘Takdir Saya dengan Taiwan’ akan mengadakan satu siri aktiviti menarik seperti pembuatan agar-agar osmanthus dan mempamerkan produk-produk buatan Taiwan antaranya penutup muka tanah liat, tuala kecantikan mikron dan penggoda kucing.
Pengunjung akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik dalam program itu termasuk hadiah utama tiket perjalanan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Taipei.
OTOP yang dilancarkan pada 1989 merupakan satu inisiatif di seluruh dunia oleh Pentadbiran Perusahaan Kecil dan Sederhana di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan sebagai satu platform untuk mempromosikan produk-produk unik.

No comments:
Post a Comment